Tuesday, 6 March 2012

Mari tinggalkan kosmetik berwarna


Siapalah yang tidak mahu berpakaian indah-indah seperti wanita lain. Solekan yang cantik walaupun tipis dan mampu mengalihkan pandangan mata lelaki. Rata-rata itulah pilihan kebanyakan wanita. Apabila menghampiri usia 40an ini, perasaan ghairah untuk menyolekkan diri tidak seperti dulu. Adakah kerana faktor menghampiri usia senja atau menyedari bahawa ada sesuatu yang lebih berharga daripada memberi untung untuk syarikat-syarikat produk kecantikan ini. Maka jalan tengah diambil. Menjaga wajah daripada segi  kulit yang bersih dan sentiasa segar tanpa mengenakan palitan warna, itulah pilihan untuk usia yang menghampiri 40an ini.

Memilih jalan perubahan itu bukanlah bererti hendak menunjukkan kita ialah wanita solehah. Tapi ingat, setiap wanita haruslah bercita-cita untuk menjadi wanita solehah. Perubahan itu berlaku apabila pemahaman tentang apa yang diharuskan oleh syarak dan yang dilarang oleh syarak mula difahami sedalam-dalamnya. Setelah datangnya faham, maka datanglah rasa untuk mengorbankan rutin yang pernah disayang dan tidak pernah ditinggalkan sebelum ini apatah lagi kita ialah wanita berkerjaya. Lipstik, mascara, eyeliner, blusher dan lain-lain alat solek akhirnya menjadi bahan muzium yang bakal dijadikan sampah. Maka Islam melarang wanita daripada berhias? Letakkan semula alat-alat solek itu di meja solek kita. Berhiaslah dan bersoleklah untuk pasangan hidup kita. Islam tidak pernah melarang wanita berpakaian cantik dan seksi serta mengenakan alat-alat solek yang berkualiti tinggi hanya untuk suami. Di situlah cantiknya Islam. Kecantikan wanita ialah untuk ditatap dengan jalan yang halal. Andaikata tatapan oleh mata-mata yang tidak mempunyai hubungan halal dengan wanita, maka pandangan itu ialah pandangan haram yang memberikan nafsu jahat. 

Firman Allah:

Dan katakanlah ( wahai Muhammad) kepada perempuan-perempuan yang beriman : hendaklah mereka menahan( sebahagian) daripada pandangan mereka ( daripada memandang lelaki yang ajnabi) dan memelihara kemaluan mereka , dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka , kecuali yang ( biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung (khumur) ke dada mereka , dan janganlah menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka , atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka , atau putera-putera saudara perempuan mereka , atau wanita-wanita Islam , atau hamba abdi yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan ( terhadap perempuan) atau anak-anak yang belum mengerti aurat perempuan . Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan . Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah , hai oang-orang yang beriman, supaya kamu mencapai falah, yakni mendapat keuntungan , kemenangan atau kebahgiaan yang hakiki .”
( surah An-Nur ayat 31).

Maka wanita, marilah berubah. Letakkan dalam minda bahawa objektif untuk berubah bukan sahaja untuk merebut peluang berada dalam kategori wanita yang solehah. Wanita yang telah memegang posisi sebagai ibu kepada anak-anak haruslah mengambil peluang perubahan sedari awal agar anak-anak dapat dididik dengan contoh yang datangnya daripada ibu mereka. Siapakah yang paling hampir dengan mereka kalau tidak kita. Sebagai pengurus rumahtangga, maka peranan membentuk anak-anak perempuan menjadi gadis yang solehah digalas di bahu kita. Tangan kita dan lidah kitalah yang boleh membimbing mereka memandu mereka kepada cara bersolek dan berhias yang dibenarkan oleh syarak. Sekiranya kawalan bermula awal, kebimbangan kita pada kehidupan sosial anak-anak gadis kita bolehlah berkurangan. Yang selebihnya, kita letakkan doa dan berserah kepada Allah. Anak-anak yang kita didik ini akan bakal diuji maka  terserahlah kepada pegangan mereka terhadap apa yang pernah kita bimbing selama ini. 

Andaikata sukar untuk menghentikan kebiasaan itu, letakkanlah satu formula yang boleh mendorong kepada perubahan. Contoh formula ialah, mengerjakan umrah. Latihan yang terdapat dalam ibadat umrah boleh dijadikan satu dorongan untuk wanita mengenepikan alat-alat solek mereka. Dalam ibadat umrah, wanita dilarang memakai perhiasan wajah dan bau-bauan. Wanita hanya mengenakan pakaian yang menutup aurat seperti aurat dalam mengerjakan solat. Semasa mengerjakan ibadat umrah, kecantikan yang ingin ditonjolkan oleh wanita pada ketika itu ialah menjadi cantik dan indah di hadapan Pencipta wanita. Ketika itulah, hati tidak bimbang dengan pandangan manusia lain. Hati dan jiwa bimbang dengan pandangan Allah SWT terhadap diri yang datang memperhambakan diri serendah-rendahnya untukNya. Nah, menanglah wanita sepanjang ibadat umrah kerana titik fokus pada ketika itu ialah untuk menjadi tetamu Allah yang terbaik dengan perbuatan ibadat yang paling baik tanpa kebimbangan terhadap penampilan diri untuk pandangan manusia lain. Menanglah wanita kerana mereka menjadi cantik pada hati yang turun ke wajah tanpa mengenakan sebarang alat-alat solek dan bau wanita tanpa bau-bauan bakal menjadi antara bau harum syurga. Bawalah latihan ibadat ini ke kehidupan normal kita seharian. Ini ialah salah satu formula untuk melangkah ke alam perubahan. Carilah formula-formula lain, kerana kita wahai wanita, inilah masanya untuk berubah.

No comments:

Post a Comment